Search This Blog

Monday, March 12, 2012

Mengenali Prof. Hamka


Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Mungkin ramai yang kurang mengenali siapa yang bernama itu. Namun, jika digelarkan dengan Prof. Hamka sudah pasti semua tahu dan mengenali dirinya. Beliau cukup terkenal dengan karya-karya agungnya terutama sekali seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, Falsafah Ketuhanan, Falsafah Hidup dan Merantau Ke Deli.

Beliau telah dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia dan merupakan anak lelaki kepada Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau.

Hamka adalah seorang yang bijak dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam mahupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga seorang yang rajin membaca dan sering bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

Pada 26 Julai 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia (MUI) tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia pada masa tersebut iaitu Kerajaan Suharto. Keputusan itu adalah cerminan sikap yang bertanggungjawabnya yang tidak mahu umat Islam terjerumus dalam kesesatan.

Pada zaman pemerintahan Sukarno, Hamka telah berani mengeluarkan fatwa bahawa haram hukunya bagi Sukarno menikah lagi, kerana presiden tersebut telah mempunyai beberapa orang isteri. Kebetulan pada masa tersebut, ia termasuk tokoh Islam yang berani menentang sikap pemerintah yang begitu rapat dengan Parti Komunis Indonesia (PKI). Menurut Hamka, PKI adalah parti yang membahayakan keselamatan kehidupan beragama di negara ini, kerana komunis tidak mengakui adanya Tuhan. Atas ketegasannya itu, beliau telah meringkuk di penjara bersama tokoh Masyumi dan PSI kerana fitnah pertubuhan LEKRA, pimpinan Pramoedya Ananta Toer. Namun demikian, beliau tidak pun berdendam terhadap Sukarno. Terbukti ketika Bung Karno wafat, Hamka yang dilantik menjadi imam solat jenazahnya.

Selain dikenali sebagai ulama berkarisma, Hamka terkenal sebagai seorang pujangga termasyhur. Sejak berusia 17 tahun, beliau sudah menulis novel bertajuk Siti Rabiah. Aktiviti penulisannya itu ditentang oleh keluarganya. Sebab, sebagai seorang putera ulama besar, Hj. Abdul Karim Amrullah, kesukaannya menulis novel itu dianggap satu aib. Namun Hamka meneruskan kegemarannya itu untuk mencari jati dirinya dan berusaha keluar dari bayangan kemasyuran ayahnya. Pada usia 30-an, beliau seolah-olah tidak meminati untuk menceburkan diri dalam kegiatan keagamaan dan menjadi seorang ulama, meski beliau sendiri termasuk pendakwah muda Muhammadiyah di bandar Medan. Beliau seolah-olah lebih berminat dengan bidang penulisan dan kewartawanan. Melalui majalah Pedoman Masyarakat, ia banyak mengupas berkenaan ilmu-ilmu Islam sehingga ia dibukukan dengan tajuk Tasawuf Moden yakni karyanya yang popular masa sekarang. Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (10 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura.

Sebagai seorang intelektual yang hidup pada zaman perjuangan merebut kemerdekaan, Hamka pada tahun 1955 turut terbabit dengan dunia politik. Ia aktif dalam parti Masyumi. Namun, perjalanan politiknya turut berakhir apabila parti Masyumi, diharamkan oleh Sukarno.Setelah itu Hamka kembali kepada dunianya, iaitu dunia penulisan. Ia kemudian menubuhkan majalah baru, iaitu majalah Panji Masyarakat. Pada masa ini, tulisan Hamka yang memperoleh Doktor Honoris Causa dari Universiti Al Azhar Mesir pada tahun 1958 ini sudah lebih banyak berupa kajian-kajian ke Islaman yang mencakupi seluruh bidang. Pada masa ini pula, penanya berjaya melahirkan karya agungnya, Tafsir Al-Azhar. Yang hebatnya, tafsir ini berjaya diselesaikannya tatkala ia meringkuk di dalam penjara (1964).

Dalam banyak hal, Hamka dikenali sebagai seorang yang moderat. Paling tidak dari cara dia menyampaikan sesuatu yang selalu menampakkan hati dan fikiran berjalan seirama. Ia tidak pernah mengeluarkan kata-kata keras, atau kasar dalam berkomunikasi. Peribadi ini sudah ia tunjukkan dari sejak muda lagi. Ia lebih suka memilih menulis novel atau cerpen dalam menyampaikan panduan Islam. Hamka yang bergelar Datuk In Domo dalam suku Minang ini mengakui bahawa memang dia menjadi lebih moderat ketika usianya semakin bertambah.”Ketika buku yang saya baca baru lima buah, saya cepat sekali menyimpulkan satu hal mengenai agama dan beremosi, tetapi ketika buku yang saya baca sudah lima puluh, saya menjadi lebih faham, dan tidak berasa perlu bersikap seperti itu,” katanya suatu ketika.Namun begitu, bukan bermakna ia kehilangan sikap tegasnya. Ketika ia berasa umat kehilangan pedoman, ia kemudian mengeluarkan fatwa Natal tahun 1981 yang amat menggemparkan itu. Ia terpaksa mengambil sikap tidak sehaluan dengan pemerintah demi menjaga kesucian Islam. Meski keluar dari MUI, Hamka tetap menjadi tokoh ulama yang berpengaruh dan berkarisma. Fatwa dan nasihatnya tetap dinantikan oleh masyarakat. Ia juga tidak jemu-jemu memberikan nasihat dan panduan kepada pendakwah-pendakwah muda. Sampai akhir hayatnya, melalui majalah Panji Masyarakat, ulama yang lahir di Sungai Batang, Maninjau, Sumatera Barat ini tetap memberikan siraman rohani kepada umat Islam yang haus dengan nasihat-nasihatnya melalui tulisan-tulisannya dalam majalah berkenaan.Hamka meninggalkan pelbagai karya penulisan yang popular. Karyanya yang dibukukan berjumlah lebih kurang 118 buah, tidak termasuk pelbagai tulisan yang dimuat di pelbagai media massa. Tulisan-tulisannya meliputi pelbagai bidang kajian: politik, sejarah, budaya, akhlak, dan ilmu-ilmu keislaman. Pada 24 Julai 1981, ulama serba boleh ini menemui Tuhannya. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar yang sukar dicari pengganti sehingga ke hari ini.

Sumber : Mohd Azrul Azlan Abd Hamid dan Zana(http://mesejabdul.wordpress.com)

Antara petikan Hamka

“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji.”

"Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras."

“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”

"Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah naik tingkahlaku dan akal budinya."

“Diribut runduklah padi
Dicupak datuk Temenggung
Hidup kalau tidak berbudi
Duduk tegak kemari canggung

Tegak rumah karena sendi
Runtuh budi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa"
.
"Pergaulan mempengaruhi didikan otak.Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan oarang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya."

“Positif, bukan negatif. Aktif, bukan pasif.”

"Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja.Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir.Dengan jalan menambah kecerdasan akal,bertambah murnilah kemerdekaan berfikir."

"Kata Hukama," Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya.Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan."

"“Saya akan pikul rahsia itu jika engkau percayakan kepada saya dan saya akan masukkan ke dalam perbendaharaan hati saya dan kemudian saya kunci pintunya erat-erat. Kunci itu akan saya lemparkan jauh-jauh sehingga seorang pun tak dapat mengambilnya kedalam lagi.”

“Hujung akal itu fikir, pangkal agama itu zikir”

"Mengikut adab kesopanan,tetamu yang tidak menghormati diri dan tidak menghormati ahli rumah yang ditemui,bukanlah orang yang patut dihormati."

"Orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain,walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu."

"Bagaimana juapun, kita hidup mesti beradat, dihapus adat lama pasti timbul adat baru."

"Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya."

"Yang benar tetap benar,yang salah tetap salah.Kaya dan miskin di hadapan keadilan adalah sama."

"Adil dalam budi pekerti ialah perangai iffah.Adil menghadapi lawan ialah memakai perangai syajaah.Adil dalam pergaulan ialah menghindarkan lengah dan lalai.Adil di dalam masyarakat ialah menengelamkan kepentingan diri sendiri ke arah masyarakat bersama."

"Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menuju kebenaran yang mutlak.Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai.Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya."

"Perhatian kepada agama pada zaman ini sudah jauh lebih maju daripada yang sudah-sudah.Disamping kejahatan yang bermaharajalela,keinsafan kepada agama sudah mulai tegak.Di mana-mana orang mengadakan pengajian kerena hendak mengetahui ajaran-ajaran agama."

"gama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa.Agama tidak menyuruh,kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa."

"Maksud agama ialah merentangkan jalan, manakala fikiran ialah membanding dan menimbang."

"Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama, iaitu perasaan malu iaitu enggan mendekati suatu yang tercela.Boleh dipercayai di dalam pergaulan hidup ( amanah), benar dan jujur. "

"Kepercayaan kepada Tuhan itu telah ada dalam lubuk jiwa manusia.Tetapi kepercayaan tentang adanya Allah itu belum menjadi jaminan bahawa orang itu tidak sesat."

"Kepercayaan agama menjelaskan bahawa manusia makhluk yang termulia darjatnya di dalam alam.Penganut-penganut tiap-tiap agama mempercayai bahawa penganut agamalah yang paling mulia"

"Apabila sempuran akal, kurang perkataan."

"Orang yang berakal, tidak berdukacita kerana miskin, bahkan yang menjadikannya berdukacita ialah sekiranya ia berkurangan akal dan tidak mengerjakan amal soleh. "

"Akal ialah anugerah Tuhan kepada makhluk yang dipilih-NYA, iaitu manusia.Akal tidak diberikan semata-mata.Ia perlu dituntun."

"Salah satu tugas agama ialah memelihara akal.Memelihara akal ialah dengan jalan menambah ilmu melatih diri berfikir,merenungkannya. "

"Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan.Hawa nafsu menyuruh mengelamun,berangan-angan,tetapi akal menyuruh menimbang."

"Anak adalah untuk zaman yang akan datang,bukan untuk zaman kita.Salahlah pendidikan orang tua yang hendak memperbuat anaknya seperti mereka juga."

"Peliharalah anak-anakmu dan perbaikilah budi pekerti mereka.Sesungguhnya anak-anak itu adalah hadiah Allah kepadamu."

"Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara,sedekah jariah,ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak yang soleh mendoakannya. "

"Sewaktu kecil anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya,kerana dia tupuan harapan,maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan kerana kejayaan hidupnya."

No comments: