Search This Blog

Monday, October 17, 2011

Tahukah anda..


MUNGKIN ramai yang tidak pernah melihat pokok palma Pauh
Janggi atau lebih dikenali dengan nama kelapa laut, Double coconut
atau nama saintifiknya Lodoicea maldivica.
Pokok kelapa laut atau Pauh Janggi ini sering dikaitkan dengan
Lagenda Pelayaran Melayu. Seperti yang kita ketahui, nenek
moyang kita zaman dulu terkenal sebagai ahli pelayaran.
Ahli pelayaran ini kerap menemui buah Pauh Janggi atau kelapa laut
terapung-apung di permukaan Lautan Hindi.
Buah Pauh Janggi ini dipungut dan dijual dengan harga yang mahal dan ramai yang mencarinya kerana dikatakan
boleh dibuat ubat dan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit serta penawar segala racun, sehingga dikatakan air
yang disimpan dalam tempurung, jika diminum dapat mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit. Pauh Janggi
juga dikatakan dapat menguat tenaga batin sehingga ia menjadi buruan ramai dan menyebabkan harganya sedikit
mahal pada waktu itu.
Ahli pelayaran Melayu merahsiakan kewujudan pokok Pauh Janggi, namun mengikut catatan, Pigafetta yang turut
serta dalam pelayaran Magellan pada 1519, beliau diberitahu seorang ahli pelayaran Melayu bahawa buah yang
terapung itu ialah Pauh Janggi daripada pokok besar yang hidup di “Pusat Tasik”.
Ahli pelayaran itu percaya di Pusat Tasik itu ada burung Garuda yang memakan lembu dan gajah dan tempat itu
tidak boleh dihampiri kerana selalu ribut dan taufan Lagenda Pauh Janggi ini juga dikaitkan dongeng Haji Batu
yang mana ketika beliau belayar untuk menunaikan haji ke Makkah, dia bermimpi supaya membawa tujuh batang
paku dan penukul. Dalam pelayarannya, kapalnya hanyut ke Pusat Tasik dan apabila kapalnya karam, dia
memanjat pokok Pauh Janggi dengan berpaut pada tujuh batang paku yang dipaku pada batang pokok Pauh
Janggi. Di atas pokok Pauh Janggi anak burung Garuda tinggal di dalam sarangnya.
Ketika burung Garuda sibuk memberi anaknya makan seekor gajah, dia mengikat badannya pada bulu burung
Garuda dan seterusnya burung itu menerbangkan sehinggalah dia dapat menunai haji di Makkah. Pokok Pauh
Janggi ialah pokok palma tunggal dan kewujudannya hanya di Kepulauan Seychelles. Palma ini adalah pokok
yang unik dan mempunyai buah seakan-akan buah kelapa yang kembar.
Buah palma ini seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) dan menjadi buah yang terbesar di dunia. Pakar Botani kagum
dengan pokok Palma ini yang dapat hidup di lereng-lereng bukit sedangkan buahnya seberat 15 kg boleh berada
di lereng bukit. Pokok Pauh Janggi tersebar luas dan ditanam di sekitar taman botani sebagai tanaman antikuiti,
ini termasuk ditanam di Taman Botani Singapura.

No comments: